Sunday, 29 May 2016

Bagaimana Menjadi Lebih Peka & Tingkatkan Daya Tumpuan (Dalam 5 Cara)


Kadang-kala, otak kita tidak dapat memberikan daya tumpuan dan kepekaan yang anda mahukan. Anda mungkin sedang duduk di dalam bilik perjumpaan dan tidak sabar untuk keluar. Ataupun anda seorang pelajar yang tidak sabar untuk lecture berakhir.
Anda mungkin mudah hilang daya tumpuan dan kepekaan disebabkan oleh perkara-perkara luar. Artikel kali ini adalah untuk mencadangkan anda beberapa cara untuk menjadi lebih peka dalam apa jua situasi.

Cara #1: Tingkatkan Kepekaan Dan Daya Tumpuan Dalam Jangka Masa Singkat

Berikut adalah beberapa langkah yang anda boleh ambil untuk meningkatkan tahap kepekaan dan daya tumpuan dalam jangka masa yang singkat.

1. Minum Secawan Kopi

Tidak dinafikan bahawa pengambilan kopi boleh membantu anda kekal peka dengan keadaan disekeliling. Hal ini kerana kopi mengandungi sejenis bahan yang dikenali sebagai kafein yang boleh meransang otak, lantas meningkatkan daya tumpuan.
Seorang orang mungkin mendapat kesan yang berbeza dengan pengambilan kopi, oleh itu sekiranya anda mengalami sakit perut, pening, rasa mual – berhenti mengambilnya.

2. Banyakkan Minum Air

Kurang air dalam badan (dihidrat) boleh melemahkan badan anda, membuatkan anda menjadi kurang peka. Oleh itu, banyakkan minum air sepanjang hari untuk kekal hidrat.
Kalau nak senang, sebaik sahaja anda berasa lemah badan dan penat, minumlah 1 atau 2 gelas.
Elakkan pengambilan air bergula seperti soda, minuman tenaga dan jus kerana memerlukan tenaga untuk dicerna.

3. Tarik Nafas Panjang-Panjang

Apabila anda menarik nafas, anda boleh merendahkan kadar degupan jantung anda dan kadar tekanan darah – lantas memperbaiki peredaran darah.
Ini akan meningkatkan tenaga dan mental anda, agar menjadi lebih peka. Langkah-langkahnya di bawah:
i. Duduk tegak
ii. Letakkan sebelah tangan di perut, dibawah tulang rusuk
iii. Letak sebelah tangan lagi di atas dada
iv. Tarik nafas dengan hidung
v. Kekalkan dada, elakkan daripada bergerak
vi. Hembuskan nafas melalui mulut.
x. Ulang 10 kali

4. Kekalkan Postur Badan Yang Sihat

Bungkuk dan tidak duduk dengan postur yang betul boleh menjejaskan bagaimana badan anda berfungsi. Ia boleh menyebabkan anda mudah rasa letih, lantas menjadikan anda mudah hilang tumpuan dan kurang peka.
Sekiranya anda duduk, pastikan tulang belakang anda dalam keadaan tegah, mata lihat lurus kehadapan, tangan di atas meja dalam keadaan yang selesa. Cuba elak bungkuk pada meja atau komputer anda.

5. Tidur Sekejap

Sekiranya anda rasa penat sangat, maka adalah terbaik anda mendapatkan rehat dengan mengambil 10 minit untuk tidur.

6. Kunyah Gula-Gula Getah

Masih susah untuk menjadi peka, apa kata anda mencuba mengunyah gula-gula getah pula. Beberapa kajian menyatakan bahawa kaedah ini boleh mengekal individu lebih jaga dan bertenaga.

7. Dengar Lagu

Sekiranya anda berada di rumah atau sedang memandu, dan perlu kekalkan daya tumpuan – apa kata pasang radio dan dengar lagu!
Dengan menyanyi, ia boleh membantu mengawal pernafsan pada masa yang sama memberikan tenaga. Kaedah ini mungkin tidak sesuai dalam situasi tempat kerja.

8. Mandi Dengan Air Sejuk

Mandi dengan air suam boleh menenangkan badan, tapi pada masa yang sama boleh membuatkan anda rasa mengantuk. Untuk mengelak daripada perkara ini berlaku, anda bolehlah mandi dengan air sejuk pula.

Cara #2: Bersenam Untuk Meningkatkan Kepekaan

Selain daripada itu, anda juga boleh melakukan pergerakan (senaman) untuk meningkatkan daya tumpuan anda.

1. Lakukan Senaman Aerobik

Semasa anda bersenam, peredaran darah dan kadar oksigen ke seluruh badan akan meningkat – termasuklah otak – membawa maksud anda akan menjadi lebih peka dengan persekitaran.
Kajian mendapati bahawa senanam aerobik seperti berjalan, berlari, jogging, menganyuh basikal boleh mencegah penyakit kognitif.

2. Luangkan 20 Minit Setiap Hari Di Luar

Luangkan masa sekurang-kurangnya 20 minit setiap hari diluar boleh membantu anda untuk berasa lebih bertenaga dan peka. Lakukan apa-apa kegiatan yang anda mahukan – bersiar-siar, jogging dan sebagainya.

Cara #3: Makan Makanan Yang Boleh Meningkatkan Daya Tumpuan

Mengamalkan pemakanan beberapa jenis makanan boleh membantu anda dalam perkara ini, berikut adalah beberapa cadangan.

1. Pastikan Anda Cukup Makan

Jika anda makan tidak ikut masa, tidak teratur, maka anda akan sukar untuk mengekalkan daya tumpuan. Makan makanan berkhasiat memainkan peranan penting dalam perkara ini.
Makan snek setiap beberapa jam boleh membantu anda mengekalkan kadar tenaga dan memperbaiki mood anda.
Yogurt, kekacang, buah-buahan segar dan biskut boleh dijadikan sebagai snek berkhasiat.

2. Pilihlah Makanan Yang Tinggi Karbohidrat

Makanan yang mengandungi kadar karbohidrat yang tinggi seperti bijirin boleh membekalkan tenaga kepada badan dan otak – menjadikan anda lebih peka.
Elakkan makan biskut (cookie), kek dan makanan yang tinggi kadar gulanya kerana tidak membekalkan tenaga yang berpanjangan.

3. Tingkatkan Pengambilan Antioksida

Makanan yang tinggi kadar antioksida boleh mengurangkan kadar radikal bebas di dalam badan yang boleh menjejaskan daya tumpuan anda. Antara makananya yang disarankan adalah:
  • Strawberi
  • Epal
  • Pisang
  • Sayur-sayuran hijau
  • Kekacang
  • Lobak merah
  • Teh, terutama teh hijau

4. Makan Makanan Tinggi Omega-3

Omega-3 fatty acid boleh membantu otak anda berfungsi dengan lebih baik. Oleh sebab itu, diet yang tinggi pengambilan ikan dan kekacang boleh meningkatkan kapasiti otak – serta menjadikannya lebih peka.

5. Makan Coklat

Sebagai tambahan kepada kafein, coklat mengandungi flavonoid yang boleh meningkatkan kualiti kognitif, menjadikan anda lebih peka (alert).
Sebaiknya, dapatkan coklat hitam kerana mengandungi kadar flavonoid yang lebih berbanding coklat susu. Ambilnya dalam kadar yang berpatutan.

Cara #4: Ubah Gaya Hidup

Gaya hidup anda sangat memberikan kesan kepada tahap tumpuan anda, berikut adalah beberapa cadangan untuk anda mengubahnya.

1. Tidur Yang Mencukupi

Tidak mendapatkan tidur yang mencukupi atau terlebih tidur boleh menyebabkan anda rasa penat dan kurang daya tumpuan pada keesokan harinya. Saranan adalah anda tidur 7-9 jam setiap hari (namun bergantung kepada individu).
Apa yang lebih baik adalah anda tetapkan masa tidur dan masa untuk jaga yang sama setiap hari.

2. Ubah Suhu Bilik

Jika bilik anda terlalu sejuk atau panas, ia boleh menyebabkan anda berasa mengantuk dan tidak selesa, lantas mengganggu daya tumpuan anda. Oleh itu, anda dinasihati agar mengubah suhu bilik mengikut keselesaan, kesesuaian anda.
Sekiranya anda berada di tempat kerja dan tidak mempunyai hak untuk mengubah suhu, maka bawalah baju sejuk sendiri untuk panaskan badan.

3. Biarkan Cahaya Matahari Masuk

Duduk di dalam bilik yang gelap atau terkurung boleh menyebabkan anda rasa mengantuk. Oleh sebab itu, buka langsir dan biarkan cahaya matahari masuk ke tempat kerja anda.
Tidakpun, sekurang-kurangnya bukalah lampu sekiranya tempat berasa gelap.

4. Pertimbangkan Supplement, Herba dan Vitamin

Untuk kekal peka, anda boleh pertimbangkan mengambil supplement yang merangkumi beberapa bahan di bawah:
i. Vitamin B-12
Kekurangan vitamin B-12 boleh menyebabkan masalah ingatan dan kekurangan tenaga. Dos yang disarankan untuk seseorang berumur 14 dan ke atas adalah 2.4 microgram setiap hari. Kebanyakan multivitamin yang terdapat di pasaran sudah mengandungi B-12, oleh itu anda boleh dapatkan mana-mana produk multivitamin, tidak perlulah secara spesifik.
ii. Ginseng
Menurut beberapa kajian, anda boleh memperbaiki mood dan kadar tenaga dengan mengambil ginseng. Tiada dos yang khusus, cuma dapatkan nasihat doktor sekiranya anda ingin bermula mengambil ginseng. Pastikan anda membeli ginseng dari sumber yang bertauliah.
iii. Guarana
Ini adalah satu herba yang tinggi kadar kafein, dipercayai boleh meningkatkan daya tumpuan. Tiada saranan dos. Rujuk dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum bermula.

Cara #5: Latih Diri Sendiri Untuk Peka

Akhir sekali, anda perlulah melatih diri sendiri agar boleh menjadi peka.

1. Banyakkan Membaca

Walaupun anda banyak membaca email dan laporan untuk kerja anda, tidak ramai orang yang membaca untuk menambah pengetahuan atau mengisi masa. Membaca boleh melatih anda untuk lebih peka.
Mulakan dengan menetapkan target satu buah buku setiap bulan.

2. Bermain Permainan

Anda boleh melatih minda anda dengan bermain permainan. Carilah permainan seperti board game, catur, puzzle, sudoku dan sebagainya.

3. Latih Diri Untuk Berfikir Dengan Cepat

Dengan berlatih untuk berfikir dan menyelesaikan sesuatu masalah dalam jangka masa yang singkat boleh melatih anda untuk kekal peka dan bersedia.
Berikut adalah beberapa cara yang anda boleh buat:
  • Cepatkan kadar anda membaca (speed reading)
  • Mulakan perbualan dengan isu-isu berat dan serius, seperti politik dan ekonomi
  • Belajar perkara baharu

Kesimpulan

Menjadi lebih peka dengan persekitaran dan mempunyai daya tumpuan yang tinggi bukanlah sesuatu yang mustahil, ia boleh dicapai dengan usaha dan latihan.
Harap artikel ini memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Silalah kongsikan artikel ini agar orang lain turut mendapat manfaat.
Sekiranya anda cadangan berkaitan dengan tajuk ini, janganlah segan meninggalkan komen di bawah.
Sekian~